Aku masih ‘park’ kat belakang Mall. Bersama aku beberapa kereta dan bas berbaris sederet. Kadang-kadang memang macam ni, tunggu panggilan orang. Selalunya dapat panggilan dari Hotel Legend. Hari ni nak ambil orang di Hentian Putra.
Mataku terarah ke Perhentian Teksi Putra. Seperti aku, beberapa kereta juga sedang menunggu. Mungkin sesuatu atau seseorang. Teksi silih berganti menurun dan mengambil penumpang. Tangga ke hentian bas sentiasa sibuk di lalui orang. Berulang alik, naik dan turun.
Cuaca sangat baik, terik dan kering. Aku pandang bangunan putih di depan kelihatan gah dan angkuh. UMNO….hari terasa bertambah panas. Aku ambil akhbar yang memang disediakan awal. Sambil melayani radio. helaian demi helaianku selak. Dah beberapa kali aku menatap benda yang sama. Bukan satu tapi tiga aku baca bagi memenuhi ruang waktu.
“Treet…treet….treet….!” ‘Handset’ aku berbunyi. Ada ‘message’ masuk.
“da masuk tol gombak….jln jem skit.”
Aku meneruskan kegiatanku - membaca. Belek punya belek helaian yang ku lihat seakan-akan jadi dua dan kabur. Maklumlah dalam kereta yang dipasang ‘aircon’. Sejuk di dalam panas di luar. Lama juga aku dalam keadaan khayalan begitu. Pejam celik pejam celik menahan mengantuk. Mata bertambah pedih dan terasa amat berat sangat.
“Treet…treet….treet….!” ‘Handset’ berbunyi lagi.
“sy da smpai bole amik tmpt biasa….”
Aku melihat ke arah perhentian teksi. Nampak “dia” sedang menanti untuk dijemput. Aku laraskan kedudukan sambil hidupkan enjin. Bagi ‘signal’ lantas aku pun jalan.
Sampai depannya aku melambai, dia balas dengan senyuman menawan. Aku buat-buat malu lalu keluar mengangkat begnya yang nampak agak berat tu. Berbekal semangat membara beg tersebut terasa ringan. Tanpa perlu dipelawa dia masuk dan duduk di belakang.
“Assalamualaikum…..apa khabar?!” Dia memulakan perbualan.
“Waalaikumussalam….sihat aje! Ok perjalanan tadi? Aku menjawab sambil menoleh sikit ke arahnya.
“Hhmmm….biasa je.” Ringkas dan lembut saja jawapnya.
Aku tak tanya banyak sebab dah diberitau awal tujuan kedatangannya. Aku meneruskan perjalanan menyusuri Jalan Kinabalu. Sepanjang perjalanan kami membisu seribu bahasa. Selalunya kami tak banyak bersembang. Pemanduanku terus menuju Lebuhraya Utara Selatan.
Sesekali aku melihat di cermin pandang belakang. Bukan nak tengok dia tapi kereta belakang. Waspada dan berhati-hati semasa memandu. Aku ternampak dia menunduk melayani panggilan masuk ‘sms’nya. Terdengar papan kunci ‘handset’ laksana diketuk-ketuk.
“Tap…tap..tap…..tap…..tap! ….tap…tap,tap,tap…tap…………tap!" Laju aje bunyinya. Sepantas kilat. Pakwe le tu kot.
Suatu ketika aku nampak dia pandang ke cermin pandang belakang. Mata bertentang mata. Hati berdebar-debar.
“Tolong hantar saya tempat biasa ya…….'dorm’!.” Tiba-tiba dia bersuara.
“Okay!” Aku angguk perlahan aje.
Sebenarnya aku cuba nak bersembang tapi tak tau lah….lidah terasa kelu. Ketika hampir sampai ke tempat yang dituju aku pun cuba memberanikan diri.
“Amacam saya bawa gi makan dulu ke? Tentu awak lapar…….kesian!”
Aku cuba mempamerkan sifat budiman dan keperihatinan yang tinggi.
“Errmmm……………”
Belum sempat dia memberi jawapan. Tiba-tiba………….
“PONN!…..POONNNN!” Begitu kuat dan lantang bunyinya.
Aku tersentak dan terkejut. Astagfirullah! Tertidur dan bermimpi rupanya. Aku mengonyohkan muka dan menoleh ke belakang. Alamak! Bas Sani Express…..punyalah besar. Pemandunya kelihatan mengalunkan tangannya seolah-olah mengisyaratkan sesuatu. Dia mengarahkan aku ke depan sikit. Dia nak ‘park’ masuk baris.
Kacau betul la dia ni. Potong aku punya cerita. Dalam keadaan mamai tu aku pun mengalihkan kereta. Serentak itu juga ‘handset’ berbunyi.
“Treet…treet….treet….!”
“sy da smpai, amik tmpt biasa….ya! Tima ksih.”
No comments:
Post a Comment